Sel B
sejenis sel darah putih / From Wikipedia, the free encyclopedia
Sel B, juga dikenali sebagai limfosit B, merupakan sejenis sel darah putih di bawah kategori limfosit.[1] Sel ini berperanan dalam bahagian keimunan humoral di bawah sistem imun penyesuaian.[1] Sel B menghasilkan molekul antibodi yang mungkin sama ada dirembes atau dimasuk terus ke dalam membran plasma apabila berfungsi sebagai sebahagian daripada reseptor sel B. [2] Sewaktu sel B memori atau sel B naif diaktifkan oleh antigen, ia akan membiak dan mengalami pembezaan menjadi sel efektor yang merembeskan antibodi, yang dikenali sebagai plasmablas atau sel plasma.[2] Di samping itu, sel B menyajikan antigen (ia juga dikelaskan sebagai sel penyaji antigen terkhusus) dan merembeskan sitokin.[1] Dalam haiwan mamalia, sel B menjadi matang dalam sumsum tulang, yang terletak di kawasan teras kebanyakan tulang.[3] Dalam burung pula, sel B matang dalam bursa Fabricius, yakni sebuah organ limfoid yang pertama kali ditemui oleh Chang dan Glick,[4] sehingga ramai pengkaji Barat mempercayai sebab utama kewujudan "B" pada "sel B" ialah kerana ia bermaksud "bursa" bukannya "bone marrow" (sumsum tulang dalam bahasa Inggeris).
Sel limfosit B | |
---|---|
Butiran | |
Sistem | Sistem imun |
Pengenalpastian | |
nama bahasa Latin | lymphocytus B |
MeSH | D001402 |
FMA | FMA:62869 |
Istilah anatomi mikroanatomi |
Sel B, tidak seperti dua kelas limfosit yang lain, sel T dan sel pemusnah semulajadi, mengungkap reseptor sel B (BCR) pada membran selnya.[1] BCR membenarkan sel B untuk mengikat antigen asing yang melawan sel B tersebut sehingga ia akan memulakan tindak balas antibodi.[1] Reseptor sel B adalah sangat spesifik, dengan semua BCR pada sel B mengenali epitop yang sama.[5]