Pengisytiharan darurat iklim
From Wikipedia, the free encyclopedia
Pengisytiharan darurat iklim atau pengisytiharan kecemasan iklim merupakan satu tindakan yang diambil oleh kerajaan dan ahli sains[1] untuk mengakui bahawa manusia sedang menghadapi sebuah kecemasan iklim. Pengisytiharan darurat iklim yang pertama dibuat di Bandaraya Darebin, Melbourne pada Disember 2016.[2] Sejak itu, lebih daripada 1,900 kerajaan tempatan di 34 buah negara telah mengisytiharkan darurat iklim (setakat Jun 2021). Populasi di kawasan yang telah mengisytiharkan darurat iklim telah mencecah 1 bilion orang.[3]
Pada 29 April 2019, Kerajaan Wales telah mengisytiharkan darurat iklim dan keputusan tersebut kemudiannya telah diluluskan oleh parlimennya, Senedd pada 1 Mei 2019. Hal ini merupakan kali pertama pengisytiharan darurat iklim dibuat secara rasmi oleh sebuah kerajaan.[4][5][6]
Pengisytiharan tersebut boleh dibuat di peringkat yang berbeza, misalnya di peringkat kebangsaan atau peringkat tempatan, dan butirannya mungkin berbeza antara satu sama lain. Sebelum sesebuah kerajaan mengisytiharkan darurat iklim, kerajaan tersebut haruslah menjadikan mitigasi perubahan iklim sebagai keutamaannya.[7] Dengan mengisytiharkan darurat iklim, kerajaan tersebut mengakui bahawa wujudnya perubahan iklim (atau pemanasan global) dan langkah-langkah yang diambil setakat ini tidak mencukupi untuk mengehadkan kesannya. Selepas pengisytiharan tersebut, sesebuah kerajaan haruslah mengambil langkah-langkah drastik yang dapat membendung pemanasan global antropogenik.[8][9]
Penggunaan istilah "darurat iklim" telah digalakkan oleh aktivis iklim dan ahli politik pro-iklim untuk mewujudkan rasa kesegeraan untuk bertindak menyelesaikan masalah perubahan iklim yang berjangka panjang.[10] Tinjauan pendapat awam Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di 50 buah negara telah menunjukkan bahawa 64% daripada 1.2 juta responden percaya bahawa perubahan iklim ialah sebuah darurat global.[11]